Posted in My Addin

4 Tahap Mendidik Anak Mengikut Sunnah Rasulullah SAW

Setiap anak adalah anugerah Tuhan yang dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai ibubapa untuk mencorak kehidupan mereka. Kita hendaklah mendidik anak-anak kita dengan cara terbaik dan cara terbaik untuk mendidik anak-anak semestinyalah dengan mengikut cara-cara Rasulullah SAW. Berikut adalah 4 tahap mendidik anak mengikut sunnah:

1. Umur anak-anak 0-6 tahun (layan anak-anak seperti seorang raja)

Pada masa ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk MEMANJAKAN, MENGASIHI dan MENYAYANGI anak dengan kasih sayang yg tiada batasan. Berikan mereka kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap adil terhadap setiap anak-anak. Tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.

Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita sebahagian daripada masa membesar mereka dan boleh dianggap sebagai rakan / rujukan yang terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang kita sebagai ibubapa selalu ada disisi mereka setiap masa.

2. Umur anak-anak 7-14 tahun (layan anak-anak seperti seorang hamba)

Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai DISIPLIN dan TANGUNGJAWAB kepada anak-anak. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam AS.

Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam. Terpulang pada ibubapa samada ingin menjadikan mereka seorang Muslim ataupun tidak.

3. Umur anak-anak 15- 21 tahun (layan anak-anak seperti seorang kawan)

Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibubapa seeloknya mendekati anak-anak dengan BERKAWAN dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka tentang kisah kedatangan haid mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama dihadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka.

Kesannya, tiada orang ketiga atau orang asing akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka. Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokkan memandangkan semua kebahagian dan keseronokkan telah ada dirumah bersama keluarga.

4. Umur anak 21 tahun dan ke atas (layan anak-anak sebagai orang dewasa)

Fasa ini adalah masa ibubapa untuk memberikan sepenuh KEPERCAYAAN kepada anak-anak dengan memberi KEBEBASAN dalam membuat keputusan mereka sendiri. Ibubapa hanya perlu pantau, nasihatkan dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul. Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di luar rumah. Insha Allah dengan segala displin yang diasah sejak tahap ke-2 sebelum ini cukup menjadi benteng diri buat mereka. Ibubapa jangan penat untuk menasihati mereka, kerana mengikut kajian nasihat yang diucap sebanyak 200 kali terhadap anak-anak mampu membentuk tingkahlaku yang baik seperti yang ibubapa inginkan.

Sekian, wallahu a’lam.

(Copy & Paste from website lain)

Advertisements
Posted in My Addin

Ujian Allah SWT Sentiasa Berterusan

Assalamualaikum,

Tahukah anda bahawa dunia ini adalah tempat ujian kita? Hidup kita adalah satu ujian. Perkara yang baik terjadi pada kita adalah untuk menguji adakah kita bersyukur dengan nikmat-Nya. Manakala perkara yang buruk berlaku pada kita adalah untuk menguji sejauh mana kita taat dan bersabar dengan dugaan-Nya. Ujian dalam kehidupan kita di dunia merangkumi 5 perkara sebelum 5 perkara.

Ujian Sentiasa Berterusan
Image Googled: Ujian Sentiasa Berterusan

5 perkara sebelum 5 perkara:

1. Sihat sebelum sakit

  • Semasa sihat, adakah kita gunakan kesihatan kita sebaik-baiknya untuk beribadat dan beramal dalam jalan Islam.
  • Semasa sakit, adakah kita redha dan mengharapkan penyembuhan dari Allah SWT.

2. Muda sebelum tua

  • Semasa muda, adakah kita gunakan sebaik-baik waktu dan kesihatan yang diberikan untuk beramal.
  • Semasa tua, adakah sudah cukup amalan kita untuk menghadap kepada Allah SWT.

3. Kaya sebelum miskin

  • Semasa kaya, adakah kita bersyukur dengan nikmat yang diberikan kepada kita dan adakah nikmat itu kita belanjakan pada jalan Allah SWT (seperti sedekah).
  • Semasa miskin, adakah kita mampu bersabar dan masih bersyukur dengan ketentuan Allah SWT dan adakah kita berusaha untuk keluar dari kemiskinan.

4. Lapang sebelum sempit

  • Semasa lapang, adakah kita menggunakan masa kita dengan perkara bermanfaat (seperti beribadat dan lakukan aktiviti berfaedah) atau kita hanya mensia-siakan masa yang diberikan kepada kita sahaja.
  • Semasa sempit, adakah kita menyesal waktu lapang kita tidak digunakan sebaik-baiknya atau adakah kita memarahi waktu sempit yang kita ada tanpa mengetahui masa sempit itu juga untuk menguji kita juga.

5. Hidup sebelum mati

  • Semasa hidup, adakah kita menggunakan waktu kita sebaik-baiknya. Adakah kita ketahui tujuan hidup kita di dunia yang diciptakan oleh Allah SWT ini.
  • Apabila nyawa sudah tercerai dari jasad, hanya amalan yang mengikuti kita ke sana. Jadi adakah cukup amalan kita selama ini? Bersediakah kita menghadapi mati pada bila-bila masa sahaja?

Di dunia inilah tempat kita berpenat dan di akhirat nanti adalah tempat untuk kita berehat. Jika lulus ujian kita, kita dapat berehat di syurga. Syurga! Sesiapa yang menolak Allah SWT, menolak ajaran Rasulullah SAW, maka dia juga menolak untuk memasuki syurga. Jadi, bersabarlah dengan setiap ujian yang diberikan dari kecil hingga hujung nyawa kita kerana ujian Allah SWT tetap berterusan. Sekian, wallahu a’lam.

Posted in My Addin

Pentingnya Bersedekah

Pengertian Bersedekah

Sedekah adalah satu pemberian ikhlas sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada sewaktu bersedekah adalah keikhlasan. Maknanya, kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah. Sedekah lebih menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain.

Pentingnya Bersedekah
Image Googled: Pentingnya Bersedekah

Kepada Siapa Kita Bersedekah

Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain. Antara yang lain adalah menurut keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara.

Fadhilat Bersedekah

  1. Dengan bersedekah akan menghilangkan rasa kurang senang golongan yang miskin terhadap golongan yang berharta dan kaya
  2. Bersedekah akan menimbulkan rasa kasih sayang sesama masyarakat Islam baik yang kaya mahupun yang miskin
  3. Sifat dengki akan hilang
  4. Bersedekah akan mendatangkan keberkatan
  5. Bersedekah dapat menghilangkan kesusahan yang dialami oleh orang-orang yang kesempitan

Konsep Bersedekah

Bersedekah dalam Islam bukan sekadar memberi wang ringgit kepada mereka yang memerlukan. Konsep bersedekah dalam Islam adalah luas, membabitkan perkara yang membawa kebaikan sama ada dalam bentuk kerohanian mahupun fizikal. Setiap orang yang berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah dengan dikurniakan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat-Nya. Allah juga akan mengelakkan hartanya daripada kecurian atau hilang.

Seseorang yang tidak suka bersedekah adalah umpama seseorang yang mempunyai benih tanaman, tetapi tidak pula dia menanam benih tersebut. Orang yang tidak suka bersedekah ini tidak akan dapat memungut atau menuai hasil rezekinya itu. Dengan adanya sifat kedekut dan ego, kehidupan akan dipenuhi dengan liku yang sukar dan bermasalah. Islam mengajar kita bahawa yang memberi lebih baik dari yang menerima. Beringatlah bahawa tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah.

Bersedekah Menghapuskan Dosa dan Penyakit

Manusia yang hidup sering melakukan kesalahan dan dosa. Allah SWT menyediakan pelbagai laluan kepada hambanya untuk penghapusan dosa, antaranya adalah bersedekah. Orang yang diuji dengan sakit, hendaklah berusaha mengubati penyakitnya itu. Salah satu daripada caranya adalah dengan memberi sedekah. Rasulullah SAW telah bersabda,

Ubatikanlah orang sakit di antara kamu dengan sedekah.

Bersedekahlah kamu sekalian, meskipun dengan hanya sebiji tamar, sesungguhnya sedekah itu dapat memenuhi keperluan orang yang lapar dan menghapuskan kesalahan, sebagaimana air dapat memadamkan api.

Kelebihan Bersedekah

  1. Mencucikan hartanya
  2. Mencucikan badannya
  3. Dipanjangkan umur
  4. Mencegah daripada mati dalam keadaan teruk
  5. Dapat menghapuskan sifat sombong, takbur dan bangga diri
  6. Menolak bala dan penyakit
  7. Menggembirakan orang miskin dan mengembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal
  8. Berkat hartanya dan diluaskan Allah rezekinya
  9. Dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari Kiamat ketika hari sangat panas
  10. Ringan hisabnya
  11. Berat timbangan amalannya di akhirat
  12. Mudah melalui titian Siratal-Mustaqim
  13. Bertambah darjatnya di dalam syurga
  14. Menutup tujuh puluh pintu kejahatan

Setiap manusia sudah dijamin rezekinya oleh Allah SWT. Apabila rezeki yang diperolehi disedekahkan di jalan Islam, Allah SWT akan menambahkan lagi rezeki yang sedia ada sebagai berkat ganjaran untuknya. Bukan itu sahaja, sedekah juga dapat menyelamatkan kita diakhirat kelak, dan disitulah kita tahu betapa pentingnya pahala bersedekah. Oleh itu, jangan takut untuk bersedekah.

Posted in My Addin

Pengertian Syukur

Assalamualaikum,

Dalam kehidupan kita ni, berapa banyak kali kita rasa bersyukur kepada Tuhan hanya sekadar diberi nafas sahaja? Saya percaya memang x ramai dan saya sendiri mengaku yang saya juga jarang bersyukur. Syukur itu bukan hanya untuk dikala kita mendapat nikmat Allah SWT sahaja, tetapi syukur juga perlu sewaktu kita dalam kesusahan. Kerana disebalik kesusahan ataupun dugaan yang Tuhan berikan untuk kita, terdapat hikmah disebaliknya.

Pengertian Syukur
Image Googled: Pengertian Syukur

Harta, kekayaan dan nikmat adalah sesuatu yang sepatutnya disyukuri oleh setiap insan bergelar hamba. Kita kena tahu, walaupun kita peroleh dengan hasil usaha kita sendiri pun, harta tersebut tetap milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada kita. Dengan bersyukur, kita akan dapat berkah dari harta itu. Kita akan rasa semua yang diberikan oleh Allah SWT sebenarnya lebih dari cukup. Kita tidak akan rasa susah hati kehilangan harta dan nikmat tersebut malah kita tidak akan rasa rugi dengan menyedekahkan harta kepada orang miskin. Dengan segala berkah ini, Allah SWT akan menambah-nambahkan harta kita kerana kita menggunakannya di jalan yang diredhai-Nya.

Selain itu, dugaan dan kesusahan dalam kehidupan kita patut juga disyukuri. Ini mungkin adalah teguran dari Allah SWT untuk kita lebih dekat kepada-Nya. Kesusahan mengingatkan kita kepada syukur diatas nikmat yang pernah kita dapat dahulu. Kesusahan juga mengajar erti sabar dan usaha untuk bangkit kembali. Secara tidak langsung, kesusahan mengajar kita untuk menjadi manusia yang lebih baik. Janganlah kita salahkan takdir Allah SWT pula jika kita ditimpa kesusahan tetapi bersyukurlah kerana Allah SWT masih sayang pada kita, ingin mendidik kita supaya kita sedar, semua yang kita peroleh adalah milik Allah SWT yang kekal. Bila-bila sahaja Allah SWT boleh menarik nikmat yang diberikan kepada kita.

Dengan ini, saya ingin menyelitkan satu lirik lagu dari kumpulan nasyid UNIC yang membawa erti kepada kehidupan saya yang penuh khilaf ini. Lagu bertajuk Erti Syukur.

Lafazkan kalimah syukur
Lafazkan kalimah itu
Alhamdulillah…

Segalanya yang ku kecapi
Adalah milikMu Ilahi -Tuhan Maha Pemurah-
Tak kan terbalas walaupun sebesar zarah

Kenikmatan yang bertandang
Terkadang tidak dihiraukan – Lepas dari pandangan –
Dan bila hilang barulah dikesalkan

Adakalanya aku hanyut
Adakalanya aku lupa
Adakala aku leka
Ampunilah…
Kerana ku manusia
Lemah dan tidak berdaya di sisiMu
Seringkali terlupa nikmatMu
Datang tiada jemu
Bila terhimpit mulalah
Mencari dan menyebut namaMu
Barulah merasai makna sebenar erti syukur
Syukur atas rahmatMu

Adakala ku hanyut
Adakala ku lupa
Adakala ku leka dan adakala ku alpa
Kerana ku manusia
Lemah dan tak berdaya
Seringkali terlupa nikmat yang Kau kurnia
Ku bersyukur ya Tuhan
Segala pemberian
Walau luas lautan
Bukanlah perbandingan
Ku tingkat keimanan
Ku gilap ketaqwaan
Sebagai perlambangan
Terima kasih ku Tuhan

Onak duri kehidupan
Jatuh bangun sendirian
Ada hikmah yang tersimpan
Yang menguji iman

Bersyukurlah selalu
Sentiasalah redha dan menerima
Tiap ujian tiba bukan diminta
Sebaliknya Allah Maha Mengetahui

Kan ku bertasbih selalu
Bertahmid berzikir padaMu
Sebagai tanda ku nilai
RahmatMu Tuhan

Aku bersyukur Ya Allah
Segala pemberianMu pada ku
Seluas lautan pun bukanlah jadi ukurannya
Memang tiada bandingan
Segalanya yang ku kecapi
Adalah milikMu Ilahi -Tuhan Maha Permurah-
Bukan milikku pinjaman sementara
Syukur Alhamdulillah

Sesungguhnya solatku,
Amalku, hidupku, matiku
Kerna Allah yang satu
Kuserahkan segala harta jiwa dan raga
Sebagai tanda cinta
KepadaMu Yang Esa

Sekadar renungan buat semua. Sahabat Rasulullah SAW iaitu Saidina Umar Al-Khattab juga pernah berdoa. Doanya adalah meminta kepada Allah SWT supaya masukkanlah dirinya dikalangan hamba-hamba yang sedikit. Dan Allah SWT juga telah menegaskan bahawa yang sedikit dikalangan hamba-hamba-Nya adalah mereka yang bersyukur. Sekian. Wallahu ‘alam.

Posted in My Addin

Wahai Para Isteri…Tahukah Anda?

Assalamualaikum,

Buat para isteri diluar sana, disini ada sedikit ilmu yang ingin saya kongsikan kepada anda jika anda masih lagi belum tahu. Marilah kita renungkan bersama-sama.

Wahai Para Isteri Tahukah Anda
Image Googled: Bahagia Suami Isteri
  • Apabila seorang suami pulang ke rumah dalam keadaan letih dan isterinya melayaninya dengan baik, maka isteri akan mendapat pahala jihad.
  • Seorang isteri yang tidak tidur lena kerana menjaga anak atau suami yang sedang sakit, maka dia akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.
  • Isteri yang melihat suaminya dengan penuh kasih sayang, Allah akan memandangnya dengan penuh rahmat.
  • Isteri yang menyapu lantai sambil berzikir dan bukan merungut, Allah akan memberi ganjaran pahala seperti menyapu lantai Baitullah.
  • Isteri yang memicit kepala suaminya tanpa disuruh akan mendapat tujuh ketul emas manakala jika disuruh, akan mendapat tujuh ketul perak.
  • Bagi isteri yang berkhidmat tanpa derhaka dalam hati, maka dia akan mendapat pahala seperti menunaikan solat selama 12 tahun.
  • Kemudian, bagi isteri yang menunaikan solat di awal waktu, menggantikan puasanya dengan cepat, dan taat kepada suami, Allah akan mengizinkannya masuk ke syurga dengan pintu mana yang disukai.
  • Apabila isteri menjemur baju, maka matahari akan mendoakan keampunannya.
  • Isteri yang taat akan memasuki syurga 500 tahun lebih awal dari suaminya dan akan menjadi ketua bidadari.

Sekian, wallahu a’lam.

Posted in My Addin, My Pregnancy

Surah-surah Amalan Ibu Mengandung

Assalamualaikum,

Wahai para ibu sekalian, setiap ayat dalam Al-Quran mengandungi pelbagai fadhilat. Sewaktu hamil, ibu digalakkan membaca ayat-ayat Al-Quran untuk diperdengarkan kepada anak dalam kandungan. Bukan itu sahaja, ada surah-surah yang boleh memberi manfaat kepada ibu yang sedang hamil.

Surah-surah Amalan Ibu Mengandung
Image Googled: Surah-surah Amalan Ibu Mengandung

Ibu juga boleh tambahkan amalan rohani lain seperti memperbanyakkan zikir, solat hajat, solat taubat, berdoa dan sebagainya. Setiap amalan yang baik dapat membantu membentuk peribadi yang baik terhadap anak dalam kandungan. Berikut adalah Surah-surah yang bagus diamalkan sewaktu mengandung. Jom baca Al-Quran!

1. Surah Al-Fatihah

  • Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan

2. Surah Maryam

  • Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat

3. Surah At-Taubah

  • Untuk membersihkan jiwa dan memelihara daripada maksiat

4. Surah Yaasin

  • Untuk ketenangan jiwa dan semoga anak tak mudah terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat

5. Surah Al-Hujurat

  • Sebagai doa untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak bersifat berhati-hati

6. Surah Luqman

  • Agar memperolehi anak yang cerdik akal dan terang hati

7. Surah Yusuf

  • Agar anak yang dilahirkan cantik rupa dan cantik akhlaknya

8. Surah Al-Nahl

  • Agar anak yang dilahirkan bersikap rajin dan berdisiplin

9. Surah Al-Furqan

  • Doa agar diberikan zuriat yang menyenangkan hati

10. Surah Al-Fatihah, 3 Qul, dan Ayat Kursi

  • Bacakan kepada kandungan setiap malam sebelum tidur agar kandungan dilindungi

Antara mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah Al-Quran. Cubalah baca dan fahami makna ayat-ayat Al-Quran. Kadang-kadang, apa yang kita baca tu, adalah hikmat, nasihat, atau petunjuk yang Allah nak beri kepada kita. Boleh buat kita insaf dan kembali kepada-Nya. Sekian, wallahu a’lam.

Posted in My Addin

Redha Seorang Suami

Assalamualaikum,

Suamimu dibesarkan oleh ibu yang mencintainya seumur hidup. Namun ketika dewasa, dia memilih untuk mencintaimu yang belum tentu kamu mencintainya seumur hidupmu. Mungkin seringkali rasa cintanya padamu lebih besar daripada rasa cintanya kepada ibunya sendiri.

Redha Seorang Suami
Image Googled: Redha Seorang Suami

Suamimu dibesarkan sebagai lelaki yang ditanggung nafkahnya oleh ayah dan ibunya sehingga dia dewasa. Namun sebelum dia mampu membalasnya, dia telah bertekad menanggung nafkahmu, perempuan asing yang baru saja dikenalnya dan hanya terikat dengan akad nikah tanpa ikatan rahim seperti ayah dan ibunya.

Suamimu redha menghabiskan waktunya untuk mencukupkan keperluanmu dan anak-anakmu. Padahal dia tahu, di sisi Allah, kamu harus dihormati tiga kali lebih besar oleh anak-anakmu berbanding dirinya. Namun tidak pernah sekalipun dia merasa cemburu, disebabkan dia mencintaimu dan berharap kamu mendapatkan yang terbaik daripadanya di sisi Allah.

Suamimu berusaha menutupi masalahnya dihadapanmu dan berusaha menyelesaikan sendiri. Sedangkan kamu terbiasa mengadukan masalahmu padanya dengan harapan suamimu mampu memberi jalan penyelesaian, padahal dia juga sedang memiliki masalah yang lebih besar. Namun dia tetap mengutamakan masalahmu berbanding masalah yang dihadapinya sendiri.

Suamimu berusaha memahami bahasa diam dan tangisanmu. Sedangkan kamu kadangkala hanya mampu memahami bahasa verbalnya saja. Itupun apabila dia mengulangi kata-katanya berkali-kali. Sukar untuk kamu memahami hati lelakinya, adakah dia menangis di sebalik senyumannya.

Apabila kamu melakukan maksiat, maka dia ikut diseret ke neraka, kerana dia bertanggungjawab terhadap segala tingkah lakumu. Namun apabila dia bermaksiat, kamu tidak akan pernah diheret ke neraka. Kerana apa yang dilakukannya adalah hal-hal yang dipertanggungjawabkan ke atas dirinya sendiri sahaja.

Lapan pintu syurga terbuka bagimu dan kamu boleh masuk dari mana-mana pintu yang disukai. Cukup dengan mendapat “Redha” daripada suamimu, sedangkan suamimu tidak mendapat kemuliaan seperti itu. Oleh itu, taat dan bersabarlah terhadapnya. Sekian, wallahu a’lam.

(Copy & paste daripada website lain)