Posted in My Addin

Sakit Penghapus Dosa

Monolog Dalaman:

Sakit, saya jarang sakit.
Kerana saya makan makanan, selalunya seimbang.
Kerana saya mempunyai antibodi tubuh yang kuat.

Saya akan jatuh sakit sekali-sekala.
Dan sakit itu pasti yang teruk.
Jika demam, pasti demam panas.
Jika cirit-birit, pasti berhari-hari.
Jika batuk, pasti hilang suara / suara serak.
Jika selesema, pasti sampai mata berair.

Walaupun keadaan saya teruk.
Saya masih gembira ketika saya jatuh sakit.

Dahulu,
Jika saya sakit, saya dapat perhatian.
Jika saya sakit, saya dapat berehat.
Jika saya sakit, saya dapat tidur panjang.
Jika saya sakit, saya dapat MC / cuti.

Sekarang,
Jika saya sakit, saya masih dapat benda yang sama.

Saya sedar, saya alpa.
Saya sedar, saya lalai.
Sakit ini, sebenarnya peringatan dari Allah.
Sakit ini, sebenarnya untuk ingat kembali kepada-Nya.

Sekarang,
Jika saya sakit, saya nak satu je.
Jika saya sakit, saya nak dosa saya diampunkan.

Maka jika saya sakit, saya redha.
Maka jika saya sakit, saya belajar erti bersyukur.
Maka jika saya sakit, saya belajar betapa pentingnya sihat.
Maka jika saya sakit, saya belajar ini ujian juga.

Supaya semasa sihat, saya banyakkan beribadah.
Supaya semasa sihat, saya banyakkan bersyukur.
Supaya semasa sihat, saya masih ingat kembali pada-Nya.

Sakit Penghapus Dosa
Sakit Penghapus Dosa
Advertisements
Posted in My Addin

Penyakit Sombong, Riak dan Takbur

Assalamualaikum,

Makhluk Allah SWT yang pertama mempunyai penyakit sombong dan takbur adalah Iblis laknatullah. Dahulu, Iblis adalah ketua kepada malaikat yang sentiasa patuh dan beribadat kepada Allah SWT. Iblis duduk di syurga. Namun, Allah SWT ingin menjadikan khalifah di bumi daripada kalangan manusia dan terciptalah Adam AS. Disuruhnya Iblis dan semua malaikat bersujud pada Adam AS sebagai tanda hormat. Kesemua mereka bersujud kecuali Iblis. Keluarnya Iblis dari syurga adalah kerana sikap sombong dan takburnya. Iblis membandingkan dirinya yang lebih baik daripada Adam AS.

Allah berfirman:

Hai Iblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaan-Ku? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi?

Maka jawab Iblis:

Aku diciptakan daripada api manakala Adam diciptakan daripada tanah.

Penyakit sombong, riak dan takbur selalu membawa kepada kerugian dan kebinasaan. Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsananya, dilucutkan kedudukannya sebagai seorang ketua malaikat dan diusir oleh Allah SWT dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya sehingga hari Kiamat. Kerana kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya, dia memandang rendah pada Nabi Adam AS dan menolak untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah SWT.

6 perkara yang boleh menyebabkan manusia menjadi sombong:

  1. ilmu
  2. keturunan
  3. kecantikan
  4. kekuatan dan kuasa
  5. kekayaan
  6. kawan / kenalan
Jangan Sombong
Jangan Sombong

Penyakit sombong, riak dan takbur juga adalah disebabkan daripada sikap perbandingan. Jikalau golongan yang kaya, bandingkan dirinya dengan golongan miskin, pasti diri merasa lebih hebat dari yang lain. Jikalau anak pintar, dibandingkan dengan anak orang lain yang tidak berapa bijak, pasti akan mencanang ke semua orang bahawa anaknya lebih hebat dari orang lain. Perbandingan seperti ini membawa sifat buruk dalam diri. Nauzubillah.

Carilah perbandingan yang lebih bermanfaat. Seperti membandingkan diri yang selalu berdosa dengan orang yang selalu beribadat. Membandingkan diri yang malas dengan orang yang selalu berusaha. Perbandingan seperti ini, ambil lah yang positifnya, jangan cemburu dan dengki-dengki pula. Supaya kita boleh menanam sifat berlumba ke arah kebaikan dan ke arah jalan akhirat yang kekal, bukan berlumba ke arah duniawi yang sementara. Astagfirullah.

Saya yang menulis ini, memberi peringatan kepada diri saya sendiri, bermuhasabah dan membaiki diri. Masih ada lagi sikap sombong dalam diri, semasa kerja, semasa dirumah, kerana ketika saya berlumba menjadi yang terbaik, terlahirlah sedikit riak dihati apabila orang memuji. Ya Allah, ampunilah diriku. Sekian, wallahu a’lam.

Posted in My Addin

Peristiwa Subuh

Assalamualaikum,

Sebelum saya membuka bicara, saya nak tanya satu soalan dahulu. Pagi tadi solat subuh tak? Kalau jawapannya ya, alhamdulillah. Kalau jawapannya tidak, maka muhasabah diri lah ye. Renungkan balik, apa penyebab susah bangun subuh, apa manfaat solat subuh dan ingat balik bahawa solat subuh ini termasuk dalam perintah Allah SWT. Tak boleh buat main-main. Solat adalah WAJIB dan tak boleh ditinggalkan sesuka hati.

Saya percaya dalam 5 waktu solat, solat yang paling banyak ditinggalkan adalah solat subuh. Lebih susah seseorang mukmin untuk tarik selimut dari pembaringan dan buka mata di awal pagi, daripada susahnya membanting tulang sepanjang hari.

Apa akibat meninggalkan solat subuh ye? Allah SWT akan mencampakkanya ke dalam neraka jahanam selama 60 tahun. Dah tau akibatnya, apa pula manfaat solat subuh ni? Barangsiapa yang solat subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah SWT. Solat subuh juga adalah solat yang menyerikan muka bagi mukmin yang melaksanakannya.

Solat Subuh
Solat Subuh

Apabila saya terdengar lagu ini, saya teringat kembali kelemahan-kelemahan saya. Mengingatkan betapa susahnya saya bangun solat subuh. Tak perlu mengata orang lain, saya akui kelemahan saya sendiri, muhasabah diri sendiri. Saya tidak sempurna. Terima kasih wahai kumpulan Raihan atas ingatan ini. Jom lihat lirik nasyid Peristiwa Subuh.

Tajuk Lagu: Peristiwa Subuh
Penyanyi: Kumpulan Raihan

Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi
Berkumandang suara azan
Mendayu memecah sepi
Selang seli sahutan ayam

Tetapi insan kalaupun ada hanya
Mata yang celik dipejam lagi
Hatinya penuh benci
Berdengkurlah kembali

Begitulah peristiwa di Subuh hari
Suara insan di alam mimpi

Ayuh bangunlah tunaikan perintah Allah
Sujud mengharap keampunan-Nya
Bersyukurlah, bangkitlah segera
Moga mendapat keredhaan-Nya

Begitulah peristiwa di Subuh hari
Setiap pagi, setiap hari

Mengingati dan mengingatkan adalah antara amalan yang baik. Jangan setakat dengar je lagu-lagu nasyid dan nyanyikan, tetapi ambillah iktibar, pengajaran dan muhasabah diri dengan amalan amar makruf nahi mungkar. Sekian, wallahu a’lam.

Posted in My Addin

Musuh Dalam Selimut

Assalamualaikum,

Maksud musuh dalam selimut adalah musuh yang berada dekat, dalam kumpulan atau yang paling hampir dengan kita. Apakah motif musuh berada dalam selimut? Motifnya adalah untuk berbuat apa saja demi mencapai matlamat iaitu menghancurkan atau memusnahkan kita dengan apa cara sekalipun. Mungkin kerana hasad dengki dan juga dendam yang membara maka timbullah musuh dalam selimut.

Musuh Dalam Selimut
Image Googled: Musuh Dalam Selimut

Persoalannya sekarang, apakah yang paling hampir dengan diri kita, yang membisik kepada kita, dan yang menyuruh kita membuat sesuatu? Jawapannya adalah hati dan akal kita sendiri. Hati berbicara mengikut iman atau nafsu, manakala akal yang matang sudah boleh berfikir baik atau buruk. Ya, musuh dalam selimut yang paling dekat dengan kita adalah diri sendiri.

Berperanglah dengan diri sendiri dengan iman yang kuat. Sebab banyak dosa yang dilakukan di dunia ini, adalah kerana tewas oleh nafsu sendiri. Tak perlu menyalahkan yang lain. Syaitan juga tidak mampu untuk mengubah diri kita, tetapi syaitan hanya mampu menghasut kita dan tindakan salah yang kita lakukan adalah dari diri kita sendiri. Jika syaitan menghasut, dan hati kita kental mengatakan tidak, maka kita telah berjaya melawan musuh dalam selimut.

Kata-kata perangsang:

  1. Sayangilah dirimu dahulu, sebelum kamu menyayangi orang lain
  2. Tiada siapa yang dapat mengubah nasibmu, melainkan kamu yang merubah nasibmu sendiri
  3. Orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang menyakiti diri sendiri

Sebagai contoh, perokok. Kita sudah tahu keburukan yang akan dapat dengan merokok (boleh membawa pelbagai jenis penyakit), tetapi kenapa kita masih merokok lagi? Musuh dalam selimut kita adalah nafsu (ketagih rokok) dan akal kita (yang mengatakan ada je orang yang merokok hidup lama, so relax la). Nauzubillah.

Contoh lain, meninggalkan solat. Kita sudah tahu solat adalah amalan pertama yang akan dikira di padang mahsyar kelak. Kepentingan solat merangkumi pelbagai aspek, dari segi amalan dan tingkah laku. Bagi sesiapa yang meninggalkan solat, hukumnya berdosa. Tetapi kenapa masih ramai yang meninggalkan solat? Musuh dalam selimut kita adalah nafsu (malas bangun, malas pergi masjid, malas solat) dan akal kita (yang mengatakan banyak lagi masa, lambat lagi nak mati, so esok-esok je la). Astaghfirullahalazim.

Inilah musuh dalam selimut yang paling berbahaya. Saya masih berperang dengan diri sendiri, bermuhasabah diri dan cuba menjadi muslimah terbaik. Diri saya masih kekurangan, masih kurang beramal walaupun ilmu telah banyak saya peroleh. Bisiklah pada hati, beramal hari ini, kerana belum tentu esok kamu hidup lagi. Sekian, wallahu a’lam.

Posted in My Life Story

Food Testing For My Wedding

Assalamualaikum,

Sabtu haritu (3 Oct), saya pergi ke Restoran Zam Zam untuk food testing. Ada la dalam 12 orang family saya yang pergi food testing tu untuk pilih menu makanan apa yang nak dihidang kepada tetamu majlis perkahwinan saya nanti. Setiap jenis hidangan diberi 2 pilihan. Berikut adalah jenis-jenis menu hidangan yang boleh dipilih di Restoran Zam Zam:

JENIS HIDANGAN
Nasi Nasi Arab Mendy Nasi Arab Kabsah
Ayam Ayam Masak Merah Ayam Grill Mendy
Kambing Kambing Kabsah Kambing Masak Salai
Salad Acar Buah Fattush(Arabic Salad)
Daging Daging Masak Hitam
Ikan Ikan Dory Sweet Sour
Kuah Dalca
Buah-Buahan Tembikai dan Oren
Air Oren, Mangga dan Air kosong
Air Tambahan Teh Tarik Teh Arab Berpudina
Dessert Puding Caramel Dadih Susu
Kek 3 Tingkat 5 Tingkat

*Highlight warna merah adalah menu pilihan kami semua

Food Testing 1
Makanan Yang Disediakan
Food Testing 2
12 Orang Family Saya Yang Datang
Food Testing 3
Makan Sampai Licin

Pejam celik, pejam celik, ada 2 bulan lebih je lagi untuk majlis perkahwinan saya. I’m sooo excited and sooo nervous. Saya berharap sangat majlis akan berjalan lancar pada hari tersebut. Doakan saya ye! Amin…Sekian.

Posted in My Addin

Keikhlasan Ibarat Seekor Semut Hitam

Assalamualaikum,

Keikhlasan itu ibarat seekor semut hitam yang berjalan di atas batu hitam di malam yang gelap. Lihatlah betapa halusnya keikhlasan. Nak cari semut yang warna coklat dekat atas batu putih siang hari pun payah.

Semut Hitam Atas Batu Hitam
Image Google: Semut Hitam Atas Batu Hitam

Penuhkan hati dengan ikhlas kerana ALLAH swt. Buang riak jauh-jauh. Ramai orang yang berjuang untuk mendapatkan tahap amal yang ikhlas tapi perjuangan ini tidak nampak dengan mata kasar, tidak perlu pedang dan perisai, kerana perjuangan ini medannya terletak pada hati yang hanya ada iman dan taqwa berperang dengan nafsu. Ikhlas ada pada hati, hanya ALLAH saja yang tahu. Kadang-kadang kita rasa macam ikhlas, tapi pada mata ALLAH hanya DIA saja yang tahu. Kadang-kadang kita rasa macam tak ada apa-apa, tapi pada mata ALLAH sangat-sangatlah ikhlas.

Ikhlas ini terletak sangat dalam. Kadang-kadang, kita bantu orang dengan sekeping syiling dua puluh sen tanpa disedari, ALLAH memandang kita dengan rahmatnya. Kadang-kadang, kita memasuki majlis ilmu tetapi timbul perasaan bajet baik, bajet akulah yang paling mulia dalam majlis ini, sudah menimbulkan riak. Riak juga halus. Dua sifat ini saling berlawanan. Siapa yang memandu, kitalah tuannya.

Jangan bagi ruang kepada riak itu berbunga dihati. Indahnya ikhlas itu menghilangkan hijab hamba, meneruskan segalanya dengan lancar dan memadamkan hasrat syaitan menembusi hati.

Sebenarnya kita bukan menyerah kalah begitu sahaja dengan membiarkan hati berkawan dengan syaitan musuh yang nyata. Kita berjuang untuk ikhlas, mujahadah. Disebabkan kita nak berjuang untuk luruskan niatlah, kita juga dipandang oleh ALLAH SWT. Pinta pada-NYA, maka kuatlah dirimu. Perkara-perkara baik datang daripada niat di hati dengan penuh keikhlasan. Jom kita LURUSKAN NIAT DENGAN HATI YANG IKHLAS. Sekian, wallahu a’lam.